Monday, December 13, 2010

TAKDIR KASIH - episod 3

Semester akhir pengajian Zara bakal menjelma. Inilah masanya Zara membuat penentuan arah hidupnya. Meskipun begitu, sebelum cuti semesternya berakhir Zara masih punya agenda bersama rakan-rakan sekelasnya semasa di sekolah menengah dahulu. Rindu rasanya setelah 5 tahun tidak bertemu. Berkelah di Pantai Port Dickson memang menyeronokkan. Tambahan lagi, Zara dapat bersua mata dengan Shika, Fida dan Lini. Mereka sibuk menceritakan pengalaman masing-masing. Zara lebih senang mendengar. Dia tidak banyak bercerita tentang hidupnya. Barangkali, Zara tidak mahu mereka yang lain tahu pengalaman pahitnya. Mungkin juga dia tidak mahu lagi mengingati kisah lamanya.

Hari demi hari berlalu. Zara harus mengikuti praktikal dalam bidang yang bakal diceburi setelah tamat pengajiannya kelak. Zara mahu membuktikan kemampuannya. Zara menghela nafas lega dan tersenyum tatkala majikannya berpuas hati dengan hasil usahanya. Zara gembira dengan pilihannya. Walaupun begitu, Zara masih perlu banyak belajar.

Kini, Zara berharap agar perjalanan hidupnya lebih lancar daripada sebelumnya. Dia tidak mahu lagi tersalah langkah. Zara tidak mahu dirinya dibayangi kisah silam.

Sedang asyik Zara melayan lagu yang pernah popular sewaktu dulu dendangan kumpulan May, dia tersenyum. Lagu itu pernah menjadi lagu tema cinta Fida dan Badrul. Setianya mereka membawa cinta yang kini telah menjenguk alam pernikahan. Mereka bakal diijabkabulkan sebaik sahaja Fida menamatkan pengajiannya. Bertuahnya Fida. Badrul juga bertuah miliki wanita sehebat Fida. Zara turut bergembira dengan hubungan mereka. Doa Zara agar mereka bahagia berterusan hingga ke syurga. InsyaAllah.

Ingatan Zara tentang zaman persekolahannya terungkap lagi apabila dia menerima khidmat pesanan ringkas. Iwan. Rakan lamanya muncul tanpa diduga. Zara gembira. Iwan mengajak Zara bertemu di bandar di mana Zara belajar. Tidak Zara tahu yang Iwan juga tinggal di bandar tersebut. Sekali lagi, Iwan meluahkan rasa hatinya yang pernah dulu dia nyatakan kepada Zara. Rupa-rupanya, Iwan sengaja bekerja di bandar tersebut untuk lebih dekat dengan Zara. Zara tidak menolak Iwan. Namun, Zara juga enggan menerima cinta Iwan. Zara hanya ingin bergelar sahabat kepada Iwan. Tapi, Iwan mahukan lebih daripada sahabat. Zara tetap dengan keputusannya.

Iwan tidak putus asa. Dia tetap mencuba. Suatu hari, Zara menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai rakan Iwan. Katanya, Iwan tidak dapat dikesan kerana membawa hati dek kerana tidak diterima cintanya oleh Zara. Zara rasa bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Lelaki tersebut menggesa Zara untuk memujuk dan menerima Iwan sebelum perkara tidak diingini berlaku. Pelik.

Pada mulanya, Zara gundah memikirkan Iwan. Namun, naluri ingin tahu Zara yang tidak ubah seperti watak penyiasat dalam siri kegemarannya ’Detektif Conan’ telah menyelamatkan dirinya daripada terpedaya dengan cerita rekaan lelaki itu. Sebenarnya, itu hanyalah helah Iwan untuk menarik perhatian Zara. Zara tidak mudah tertipu. Dia tidak menyangka Iwan sanggup menipunya. Zara mengambil keputusan untuk berpura-pura percayakan lelaki tersebut tetapi sebaliknya dia tidak pernah berusaha memujuk Iwan. Zara membiarkan Iwan tertunggu-tunggu sehingga detik Zara menghubunginya. Zara hanya menyatakan kekesalannya terhadap Iwan. Iwan menyedari yang helahnya tidak berjaya dan mengakui kesilapannya. Bukannya niat Zara menghampakan rakan sendiri. Dia punyai sebab tersendiri untuk tidak memantulkan rasa serupa terhadap Iwan.

Selepas kejadian tersebut, Iwan benar-benar menghilangkan diri. Zara sudah tidak menerima sebarang khabar tentang Iwan lagi. Mungkinkah Iwan telah menerima takdir yang dia tiada jodoh bersama Zara? Atau Iwan punyai rencana lain?

Ikuti sambungannya di episod 4
-Hasia Itis Miharbi-