Sunday, January 17, 2010

Jom becerita - bersama cikgu

ORANG KENIT DENGAN TUAN PUTERI

Selaut kasih saya hulurkan,
Istimewa buat saudara-saudari,
Cerita hikayat saya persembahkan,
Tujuh Orang Kenit dengan Tuan Puteri.

Pada zaman dahulu,ada tujuh orang kenit. Mereka tinggal di tepi sebuah hutan tebal. Mereka membina sebuah pondok kecil.Pondok mereka sungguh cantik.Setiap hari, mereka keluar bermain di taman. Taman itu berhampiran dengan rumah mereka. Mereka bermain sambil menyanyi bersama-sama…

Kami Si Kenit yang baik hati,
Suka menyanyi suka menari,
Kami Si Kenit yang baik hati,
Saling membantu sesama sendiri”.

Suatu hari, mereka ternampak beberapa orang penjahat melarikan puteri raja ke dalam sebuah hutan. “ Kita mesti selamatkan Tuan Puteri itu!” kata Jas, ketua orang kenit itu. Orang-orang kenit itu berkawan dengan seekor helang. Mereka memanggil helang itu untuk membawa mereka ke dalam hutan. Helang terus terbang menuju ke hutan tersebut.Orang-orang kenit itu berpegang kuat pada kaki helang yang sedang terbang tinggi diudara. Tiba-tiba mereka ternampak akan penjahat-penjahat itu.
“Ha! Itu pun mereka. Mari kita turun ke sana!” kata Jas kepada helang itu. Di situ, ada sebuah pondok. Tuan puteri diikat pada tiang di dalam pondok itu.
“ Mari kita masuk dan selamatkan Tuan Puteri itu!” bisik Jas dengan bersemangat kepada rakan-rakannya.Oleh kerana tubuh mereka kecil, Jas dan kawan-kawannya mudah sahaja masuk melalui lubang dinding.
Meow!, Meow!
Tiba-tiba seekor kucing muncul. Kucing itu mahu menerkam mereka. “Cepat! Selamatkan diri!” arah Jas. Mereka segera memanjat tiang dan bersembunyi di dalam sebuah kotak kayu di atas alang.“ Mari kita lastik kucing itu!” kata Jas. Mereka pun melastik kucing itu bertubi-tubi.
Meow! Meow!Kucing itu kesakitan lalu melarikan diri. “Yahoo! Kita berjaya!” sorak Jas dan kawan-kawannya.Penjahat yang melarikan Tuan Puteri, sedang lena di tepi tiang . Dengan perlahan Jas cepat-cepat menyuruh kawan-kawannya menjatuhkan kotak kayu itu.“Satu! Dua! Tiga! Tolak!” arah Jas. Kotak kayu itu terjatuh di atas kepala penjahat itu. Penjahat itu pengsan. Jas dan kawan-kawannya cepat-cepat turun lalu membebaskan Tuan Puteri itu. “Cepat! Buka tali pada Tuan Puteri!” arah Jas.Orang-orang kenit tersebut dengan pantas membuka ikatan pada tangan dan kaki Tuan Puteri. Tuan Puteri berasa sangat gembira “Terima kasih wahai orang-orang kenit, kamu semua memang baik hati, ” kata Tuan Puteri itu dengan gembira.
Akhirnya, orang-orang kenit itu membawa Tuan Puteri ke istana. Raja sungguh gembira kerana puteri kesayangan baginda telah selamat pulang ke istana.Raja mengucapkan terima kasih lalu memberikan hadiah yang banyak kepada Jas dan kawan-kawannya. Raja juga mempelawa orang-orang kenit itu untuk tinggal di istana. Mereka sangat gembira.
Sejak itu, Jas dan kawan-kawannya menjadi kawan baik Tuan Puteri itu. Kini mereka juga tinggal di istana bersama-sama Tuan Puteri itu.

Ingatlah kawan-kawan, jika kita suka berbuat baik kepada orang lain pasti kita akan mendapat balasan yang baik. Bak kata pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”

Putera berburu membawa panah,
Berehat sekejap di gunung Banang,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik sentiasa dikenang.

Sekian,terima kasih.

No comments:

Post a Comment