Friday, January 21, 2011

TAKDIR KASIH - episod 4

Detik ini, Zara sudah bergelar seorang wartawan setelah berjaya menggenggam segulung ijazah setahun lalu. Zara bangga dengan kerjayanya kini. Hasil liputannya seringkali mendapat tumpuan orang ramai. Fida juga telah berjaya mencapai impiannya. Fida seorang Pembantu Perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Kebetulan, Lini juga bertugas di hospital yang sama sebagai jururawat. Shika pula menjadi pendidik di salah sebuah sekolah di Melaka.

Namun, manusia tidak selalunya hidup dalam kejayaan. Kerjaya Zara ada pasang surutnya. Bak kata pepatah, hidup kita ibarat roda. Ada ketika kita selesa berada di atas, ada ketika kita terpaksa berada di bawah. Sungguhpun demikian, Zara tetap tabah dengan dorongan dan sokongan daripada keluarga tercinta.

Zara menjadi lebih kuat apabila Fida menghubunginya. Katanya, dia terpanggil untuk menghubungi Zara apabila mendengar khabar tentang Zara daripada ibunya. Fida menyarankan agar Zara mencuba nasib dalam bidang penyiaran sebagai penyampai radio. Mulanya, Zara kurang yakin dengan cadangan Fida. Setelah begitu lama mengambil masa untuk berfikir, Zara bersetuju untuk mengubah haluannya. Zara mendapat sokongan ibu dan bapanya. Nasib sentiasa menyebelahi Zara. Dia terpilih menjadi peserta dalam satu pertandingan untuk menjadi penyampai di salah sebuah stesen radio swasta. Zara mendapat tempat kedua. Biarpun Zara tidak sepetah yang dicari, namun keupayaannya menyusun kata dengan bait-bait indah mampu menarik perhatian juri. Zara diterima bekerja di stesen radio tersebut.

Zara bukan sahaja gembira dengan kerjaya barunya, tetapi dia juga gembira bertemu cinta hati di tempat kerjanya. Zara telah menguakkan pintu hatinya untuk si dia tatkala umurnya melepasi 25 tahun. Setelah hampir setahun usia perkenalan, Haris melamar Zara. Dengan restu orang tua, Zara dan Haris disatukan. Majlis perkahwinan mereka meriah dan berseri dengan hadirnya rakan-rakan bersama kalungan tahniah.

Pelayaran bermula dengan merentasi lautan tenang. Namun, sesekali gelora tiba jua. Menggoncangkan bahtera yang seringkali diserang lanun. Zara dan Haris berusaha sedaya mungkin memperbaiki sekiranya ada kesilapan dalam perkongsian mereka. Tiga tahun berlalu, namun mereka belum dikurniakan cahaya mata. Bagi Zara dan Haris, itu ketentuan-Nya. Mungkin belum rezeki mereka. Zara dan Haris pasrah.

Sememangnya penantian itu satu penyiksaan. Setelah lama menanti kehadiran cucu, ibu bapa Haris menyarankan agar dia beristeri lagi. Haris membantah. Zara terkedu. Zara bertanya sendiri. Mampukah dia tempuhi dugaan ini? Adilkah Haris sebagaimana Rasulullah berlaku adil terhadap isteri-isterinya? Relakah dirinya berkongsi kasih? Kuatkah dirinya? Tetapi Zara tidak mampu menjadi penghalang kebahagiaan orang lain. Dia tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Haris layak bahagia dengan hadirnya cahaya mata. Mungkin dengan cara itu, mentuanya lebih menghargai Zara. Zara memohon petunjuk daripada Allah. Akhirnya Zara bersedia berkongsi kasih. Mulianya hati Zara. Harapan Zara agar mentuanya bahagia. Haris dijodohkan dengan setiausaha syarikat keluarganya. Belumpun usia perkahwinan mereka menjangkau tiga bulan, Julia telah disahkan mengandung. Zara tumpang gembira.

Kehadiran zuriat yang ditunggu-tunggu selama 9 bulan 10 hari tiba jua. Bayi lelaki comel yang dicurahkan kasih sayang yang melimpah ruah itu telah memancarkan kebahagiaan dalam keluarga Haris. Biarpun kadangkala hati Zara meruntun sedih dengan takdir hidupnya, dia tetap senang dengan keputusannya. Demi kebahagiaan banyak pihak, dia sanggup lakukan apa saja. Semoga Allah membalas segala kebaikan dan ketulusan Zara kelak.

No comments:

Post a Comment