Wednesday, November 24, 2010

TAKDIR KASIH - episod 1

Zara termenung terkenang zaman persekolahannya yang dirasakan indah, seronok dan semestinya terselit seribu satu sejarah yang tak mungkin dia lupakan. Tersenyum... tika teringatkan rakan-rakan karibnya yang pelbagai karenah. Shika, Fida, Lini dan Zara lagaknya seperti 'Geng Parang'. Menggunakan kata setajam parang menghiris setiap lelaki nakal yang mengganggu rakan perempuan mereka. Keberanian itulah menjadikan mereka terkenal di sekolah tersebut. Tapi... itu dulu. Namun, kenangan lama masih segar diingatan Zara walaupun usianya merapati 30-an.

Zara bingkas dari kerusi menuju ke arah komputernya. Dia melayari laman sesawang. Dicarinya rakan-rakan sekelas yang lama tidak diketahui beritanya. Akhirnya Zara tersenyum puas setelah menemui apa yang dicarinya. Namun, Zara sedikit terkilan kerana belum mendapat sebarang khabar daripada seorang lagi rakannya. Zara dan rakannya itu berkawan sejak di sekolah rendah lagi. Anak seorang guru. Ikhwan seorang yang agak nakal. Namun, Zara senang berkawan dengannya. Mereka selalu pulang dari sekolah bersama. Ikhwan atau nama timangannya Iwan sangat digilai oleh pelajar perempuan sekolah tersebut. Tambahan pula, sikapnya yang peramah dan agak 'romeo' boleh menjerat mereka yang sanggup terjerat. Wajahnya kacak menjadikan Iwan lebih istimewa.

Tidak ramai yang tahu Zara dan Iwan berkawan. Mereka tidak selalu bertegur sapa di sekolah. Mereka hanya berkawan bila di luar kawasan sekolah. Zara tahu sekiranya orang lain tahu dia berkawan dengan Iwan, mungkin dia juga 'dicop' sebagai 'mangsa' Iwan. Tidak. Zara bukan mangsa Iwan.

Sewaktu usia perkenalan menjangkau sembilan tahun, Iwan berubah. Iwan sudah mula menyorokkan taringnya bila berdepan dengan Zara. Zara tidak tahu apa sebabnya. Hanya Iwan yang tahu. Walaupun begitu, Iwan masih 'romeo' di belakang Zara. Pada mulanya, Zara sangkakan Iwan sudah tidak 'romeo' lagi. Namun, khabar angin bertiup di cuping Zara sebaliknya.

Semasa mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah ke Melaka, Iwan mula sibuk dengan aktiviti 'romeo'nya. Shika, Fida dan Lini juga ikut serta. Zara tidak menyertainya kerana kebetulan neneknya tenat di kampung. Sekembalinya mereka dari Melaka, Shika, Fida dan Lini asyik bercerita tentang pengalaman mereka. Tidak ketinggalan, cerita tentang Iwan. Daripada cerita itu, Zara dapat meneka yang Shika dan Lini sukakan Iwan. Namun, mereka mungkin malu untuk menzahirkan rasa tersebut. Mungkin malu dianggap sebagai 'mangsa' Iwan. Mungkin juga mereka tidak mahu dikatakan bertepuk sebelah tangan. Tidak mustahil mereka juga tidak mahu melukakan hati antara satu sama lain. Zara tetap berlagak biasa kerana ketiga-tiga rakan karibnya itu masih tidak tahu yang dia berkawan baik dengan Iwan.

Zara dan Iwan masih berkawan seperti dahulu walaupun Zara tahu Iwan cuma berpura-pura baik di depannya. Suatu hari Iwan menyatakan yang dia sayangkan Zara. Zara seperti tidak percaya. Sangkaan Zara, Iwan mahu mempermainkannya sepertimana pelajar perempuan yang lain. Kalaupun betul apa yang diucapkan Iwan, Zara tidak mahu... Bukannya kerana malu berdamping dengan Iwan. Tapi Zara tahu, dua rakannya sukakan Iwan. Dia tidak mahu lukakan hati rakannya. Lagipun, Zara sedar yang dia tidak secantik mana untuk berganding dengan Iwan. Zara semakin menjauhi Iwan. Mereka tidak lagi pulang dari sekolah bersama. Zara selalu pulang lewat untuk mengelak bertemu Iwan.

Semakin Zara mengelak, semakin itulah Iwan mencuba untuk memenangi hati Zara. Namun, Zara tetap Zara. Dia tidak akan sekali-kali mengubah fikirannya.


p/s: ikuti sambungan cerita ini di episod akan datang.

nukilan: Hasia Itis Miharbi

No comments:

Post a Comment