Friday, November 26, 2010

TAKDIR KASIH - episod 2

Hubungan Zara dan Iwan berterusan begitu sehingga Iwan tamat persekolahan. Selepas tamat SPM, Iwan bekerja. Zara pula meneruskan pembelajarannya di sekolah bersama Shika, Fida dan Lini. ’Geng Parang’ berjaya mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Mereka terpisah membawa haluan, mengejar cita-cita masing-masing. Setahu Zara, Shika mengikuti matrikulasi di Kedah. Fida belajar Asasi Sains di USM. dan Lini meneruskan pengajiannya di sebuah kolej kejururawatan yang terletak di Kelantan. Zara sendiri mengejar cita-citanya di UiTM, Shah Alam.

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, Zara semakin lupakan zaman persekolahannya. Ini kerana, dia mendapat kegembiraan baru semasa belajar di universiti. Sikapnya yang ramah dan mudah bergaul menyebabkan Zara terkenal sepertimana dia terkenal di zaman persekolahannya. Zara seorang yang senang didekati. Mungkin karakternya yang mudah tersenyum menyebabkan dia disenangi rakan-rakan.

Di universiti, Zara semakin mengerti dan mengenali erti hidup. Pelbagai pengalaman pahit dan manis dilaluinya sendiri. Hanya rakan terdekat sahaja dapat berkongsi pengalaman itu. Jadi, tidak ramai yang tahu Zara pernah alpa dalam hidupnya. Zara pernah melupakan pendiriannya sendiri dengan terjebak dalam cinta seseorang yang bergelar suami orang dan mengaku yang dirinya duda. Lelaki itu diperkenalkan oleh Yati, rakan karibnya di universiti. Mujurlah Zara cepat tersedar daripada kelalaian itu setelah menyedari yang Salman telah beristeri. Pernah sekali Zara terpandang kelibat Salman di pasar malam bersama seorang wanita berkerusi roda. Zara tidak terpanggil untuk menyapa Salman pada ketika itu. Dibiarkan sahaja pelbagai persoalan bersarang difikiran. Benarkah lelaki itu Salman? Siapakah wanita tersebut?

Keesokan harinya, Zara mencari jawapan kepada soalannya. Salman dengan tenang menjelaskan bahawa wanita tersebut merupakan ibunya. Zara dapat merasakan yang Salman berdusta. Mana mungkin wanita seusia itu merupakan ibunya. Sekiranya dihitung usia Salman, kebarangkalian umur ibunya dalam lingkungan 60-an. Zara mencari kepastian menerusi rakan-rakan sekerja Salman. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Salman terbukti berselindung di sebalik kata-katanya. Zara mendapat tahu yang isterinya sedang menderita sakit barah yang kronik. Mungkinkah wanita yang dilihat Zara itu isterinya? Ya. Itulah wanita malang yang hanya dianggarkan beberapa bulan hayatnya oleh doktor. Namun begitu, hanya Allah lebih tahu tentang makhluknya. Zara sebak. Terdetik di fikiran Zara, sekiranya Salman tidak setia dan sanggup curang semasa hidup isterinya, mungkin juga dirinya akan menerima nasib yang serupa kelak. Mungkin Salman cuma ingin mengisi kekosongan hatinya. Tapi bukan begitu caranya. Seharusnya dia menyatakan hal sebenar kepada Zara. Zara dengan rela hati menarik diri daripada cinta Salman. Pada mulanya, Salman merayu Zara agar tidak meninggalkannya. Setelah Zara berkeras dengan keputusannya, Salman mengalah dan akur. Zara bersyukur kerana Allah telah menyelamatkannya daripada mengguris perasaan sesama kaum hawa dengan merebut kebahagiaan di saat-saat akhir hayat mereka. Sejak itu, Zara lebih berhati-hati untuk berkawan. Zara mengambil keputusan untuk tidak mempunyai rakan karib lagi.

Biarpun usia bertambah saban tahun, Zara masih belum bersedia untuk mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. Kehidupan Zara lebih tenang tanpa cinta. Namun, Zara hanya manusia biasa. Dia sering diuji dengan hadirnya cinta lelaki. Zara tetap dengan pendiriannya. Kebijaksanaan dan pengalaman menjadikan Zara lebih matang dan berwaspada. Dia enggan dipedaya lagi. Dia lebih menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran bagi merealisasikan cita-citanya.

No comments:

Post a Comment